Pil Gugur Janin Berbahaya, Undang Risiko Maut | HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» HEALTH INFORMATION » 2019 » Pil Gugur Janin Berbahaya, Undang Risiko Maut

Pil Gugur Janin Berbahaya, Undang Risiko Maut

SUMBER: BERITA HARIAN

ISU pengguguran haram dengan kaedah pengambilan pil ‘Cytotec’ timbul semula berikutan lima kematian akibat penyalahgunaan pil itu seperti dilaporkan media tempatan baru-baru ini.

Penjualan pil pengguguran atau popular dengan gelaran ‘pil cuci noda’ berleluasa di alam maya. Ini membayangkan mentaliti masyarakat yang menganggap nyawa si kecil seolah-olah sudah tidak bernilai.

Rata-rata pengguna dalam kalangan pelajar sekolah menengah, kerana lambakan menyebabkan pil itu amat mudah diperoleh dengan hanya berhubungan melalui aplikasi WhatsApp.

Tablet Cytotec atau nama genericnya Misoprostol adalah produk berdaftar dengan nombor pendaftaran MAL19890225AR. Tablet ini mengandungi Misoprostol 200 mcg, yang diklasifikasikan Racun Jenis B dan kegunaan utama tablet yang didaftarkan adalah untuk merawat ulser.

Di samping ulser, Cytotec juga bertindak dengan menyebabkan kecutan atau kontraksi rahim yang sangat kuat dan menyebabkan proses keguguran berlaku. Ia sangat berkesan sekiranya digunakan pada 12 minggu pertama kehamilan, di mana keberkesanannya setinggi 90 peratus.

Bagi wanita atau pasangan yang mahu jalan penyelesaian mudah, murah dan berkesan, tablet ini lazimnya menjadi pilihan utama berbanding berjumpa doktor. Akses kepada ubat ini juga hanya di hujung jari.

Berbekal sedikit maklumat mengenai kesan sampingan Cytotec seperti cirit-birit, sakit perut, loya, sakit kepala, muntah dan sembelit, lazimnya pengguna mengambil remeh kesan itu dan beranggapan ia hanya untuk tempoh singkat.

Malangnya, apa yang wanita tidak tahu atau gagal fahami adalah kesan buruk akibat pengambilan ‘pil cuci noda’ ini.

Antara risiko bakal dihadapi termasuk penggunaan melebihi 12 minggu akan menyebabkan kesan lebih mudarat seperti koyakan teruk pada rahim dan embolism air ketuban. Penggunaan tanpa pemantauan doktor juga akan mengakibatkan pendarahan teruk dari rahim yang koyak sehingga mengakibatkan kematian

Penggunaannya sangat berbahaya jika membabitkan kandungan luar rahim (ektopik). Ini akan menyebabkan pendarahan dalaman teruk dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa. Kementerian Kesihatan mengambil pelbagai langkah untuk memantau dan menyekat aktiviti penjualan ubat ini melalui internet, namun masih tidak mampu dibendung secara menyeluruh.

Untuk makluman awam, Kementerian Kesihatan tidak pernah melantik mana-mana syarikat atau orang perseorangan sebagai ejen bagi produk yang didaftarkan.

Bagaimana pula penyelesaian bagi wanita mangsa rogol? Adakah perlu teruskan kandungan dan menghadapi cemuhan serta tekanan perasaan dari masyarakat sekeliling?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-26 pada 7-8 Mac 1990 membincangkan isu ‘Pengguguran Kandungan Atas Nasihat Doktor Disebabkan Kecacatan’ dan bersetuju memutuskan seperti berikut:

“Adalah haram menggugurkan janin di dalam kandungan kecuali atas sebab kecacatan teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-52 pada 1 Julai 2002 juga membincangkan isu ‘Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol’ dan bersetuju memutuskan seperti berikut:

a) Haram menggugurkan kandungan janin yang berumur lebih 120 hari kerana dianggap jenayah bunuh ke atas janin yang ditiupkan roh, kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

b) Pengguguran janin berusia sebelum 120 hari adalah harus sekiranya cacat dan penyakit teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu. Penilaian sama ada kandungan akan menjejaskan nyawa ibu atau tidak adalah di bawah bidang kuasa doktor perubatan sahaja.

Doktor perubatan akan bersidang dan mengkaji tahap kesihatan wanita terbabit dan sekiranya terbukti secara klinikal bahawa meneruskan kandungan itu menjejaskan nyawa ibu, maka prosedur pengguguran akan dijalankan di hospital di bawah pemantauan rapi.

Kebenaran bertulis akan ditandatangani pihak doktor dan pesakit sebelum prosedur dijalankan. Pesakit akan berada di hospital dari awal hingga akhir prosedur dan hanya dibenarkan pulang ke rumah apabila kesihatan benar-benar memuaskan.

Ini perbezaan antara rawatan hospital dan ‘rawatan sendiri’ yang wanita di luar sana harus faham. Ia ia bukan sahaja membabitkan nyawa janin, malah nyawa anda sendiri.

Harus diingatkan Seksyen 312 Kanun Keseksaan, individu yang menggugurkan anak tanpa sebab boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Penulis, Dr Maiza Tusimin adalah Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi, Pakar Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Updated:: 25/06/2019 [h_nora]

MEDIA SHARING

HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5002
03 0000 0000
C1593991721