Inovasi 'Throat-lite' Mudahkan Rawatan | HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» HEALTH INFORMATION » 2019 » Inovasi 'Throat-lite' Mudahkan Rawatan

Inovasi 'Throat-lite' Mudahkan Rawatan

SUMBER: BERITA HARIAN

PEMERIKSAAN kaviti oral (mulut) adalah prosedur awal bertujuan mengesan sebarang jangkitan virus apabila kanak-kanak mengalami demam, batuk, ulser mulut dan sakit kerongkong, sering dikaitkan penyakit yang boleh meragut nyawa seperti difteria.

Bagi pengamal perubatan, kaedah ini sebagai asas membolehkan mereka melihat perubahan struktur anatomi kawasan rongga mulut apabila pesakit mengalami simptom klinikal berkaitan masalah salur pernafasan.

Pakar Patologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Sabariah Md Noor, berkata jangkitan salur pernafasan sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan virus.

Beliau berkata, pemeriksaan teliti perlu bagi mengenal pasti pelbagai penyakit seperti radang tonsil dan radang farinks.

“Sekiranya penyakit itu tidak dirawat segera boleh menyebabkan kegagalan sistem pernafasan selain menjejaskan fungsi jantung hingga boleh membawa maut.

“Pemeriksaan kerongkong adalah aspek penting diberi perhatian sewaktu melakukan pemeriksaan kaviti oral ini,” katanya.

Sabariah berkata, lazimnya pakar menggunakan ‘tongue depressor/spatula’ berserta lampu suluh diperlukan bagi membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan tepat.

Beliau berkata, pemeriksaan kerongkong dalam kalangan kanak-kanak lebih rumit kerana mereka tidak mahu duduk diam, selain berada dalam emosi tidak stabil hingga menyukarkan prosedur pemeriksaan.

“Lampu suluh bersaiz sederhana diperlukan untuk tujuan itu,” katanya.

Bagi melancarkan proses pemeriksaan, beliau bersama Pakar Pediatrik Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr Shazreen @ Fatihah Shaari, mencetuskan idea menambahbaik penggunaan ‘wooden tongue depressor’ sedia ada bersama lampu LED mini.

Beliau berkata, inovasi ‘Throat-lite’ memudahkan tugas memeriksa kerongkong pesakit, terutama dalam kalangan anak kecil.

“Rekaan ini dijadikan sebahagian daripada projek menerusi Program Global I-Lead STEM Camp & International STEM Olympiad (GISC & ISTEMO) 2018.

Projek membabitkan dua pelajar Tingkatan Satu, Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, tahun lalu.

“Sebelum menyertai program GISC 2018, satu kaji selidik mengenai keperluan penggunaan ‘wooden tongue depressor’ berserta lampu LED mini berklip dijalankan dalam kalangan pengamal perubatan.

“Penyelidikan awal itu membabitkan 91 pegawai perubatan, pakar klinikal dan jururawat, 90 peratus bersetuju pemeriksaan kaviti oral dalam kalangan kanak-kanak lebih rumit berbanding dewasa.

“Mengatasi kesulitan itu, mereka sebulat suara bersetuju bahawa sumber cahaya adalah keperluan utama ketika pemeriksaan kerongkong dengan sempurna,” katanya.

Dr Sabariah berkata, penggunaan ‘wooden tongue depressor’ pakai buang sedia ada di setiap klinik dan hospital ditambahbaik dengan lampu LED mini sedia ada di pasaran.

“Lampu LED bersifat mudah dan ringan selain boleh dipusing 360 darjah hanya perlu diklip pada ‘wooden tongue depressor’ sedia digunakan. Inovasi ini memudahkan pemeriksaan kerongkong, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

“Kemudahan ini membolehkan prosedur pemeriksaan dilakukan seorang doktor sahaja tanpa bantuan petugas sokongan. Alat ini dapat dipegang dengan sebelah tangan di samping menstabilkan posisi kepala pesakit jika perlu.

“Lampu LED mini juga membolehkan cahaya dihalakan tepat pada bahagian yang perlu diberi perhatian dan membolehkan pemeriksaan dilakukan dengan mudah,” katanya.

Intervensi ‘Throat-lite’ ini walaupun bersaiz kecil, sangat praktikal dan diyakini membawa impak besar dalam melancarkan tugas harian pengamal perubatan.

Penggunaan ini diharapkan dapat merealisasikan misi Kementerian Kesihatan dalam mempercepatkan proses memeriksa dan mengesan penyakit, sekali gus mempercepatkan prosedur rawatan terbaik.

Info

  • Sakit kerongkong - gejala biasa akibat jangkitan virus.
  • Difteria - penyakit disebabkan bakteria Corynebacterium diphteriae, tersebar melalui titisan cecair pernafasan.
  • Ulser mulut - dikenali sebagai kudis mawar liar yang menyakitkan dan mengembang di dalam mulut atau pangkal gusi.

 

Intervensi ‘Throat-lite’

  • Lampu LED lebih terang daripada lampu suluh biasa
  • Jangka hayat bateri dua tahun
  • Bersaiz kecil dan ringan
  • Boleh dipusing 360 darjah
  • Lampu diklip pada ‘wooden tongue depressor’ dan sedia digunakan.

Updated:: 26/06/2019 [h_nora]

MEDIA SHARING

HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
03 00000000
C1597443053