Sahur Bantu Kekal Bertenaga Ketika Puasa | HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» HEALTH INFORMATION » 2018 » Sahur Bantu Kekal Bertenaga Ketika Puasa

Sahur Bantu Kekal Bertenaga Ketika Puasa

SUMBER: BERITA HARIAN

Pada Ramadan, sahur menjadi waktu makan utama untuk memberi tenaga sepanjang hari. Pemilihan makanan yang seimbang, lengkap dan bersederhana ketika bersahur penting untuk memulakan hari dengan penuh bertenaga. Makanan yang sebaiknya dimakan wajar mengandungi semua zat iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.

Keseluruhan zat ini boleh didapati dengan mengamalkan konsep Pinggan Sihat Malaysia, Suku Suku Separuh yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Diet seimbang kekal kecergasan

Kombinasi suku pinggan karbohidrat dan suku pinggan protein memberi tenaga berpanjangan semasa berpuasa, membantu diri berasa kenyang lebih lama sementara menunggu waktu berbuka.

Pengambilan serat daripada separuh pinggan sayur-sayuran dan buah-buahan membantu melambatkan penghadaman makanan seterusnya mengurangkan rasa lapar.

Pegawai Dietetik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, A’ishah Zafirah Abdul A’zim, berkata makanan yang tidak disarankan ketika bersahur adalah daripada jenis makanan tidak memberikan cukup tenaga dan zat lengkap.

Elak garam berlebihan

A’ishah berkata, pengambilan garam berlebihan tidak disarankan semasa bersahur bagi mengurangkan rasa haus dan menghindari berlakunya dehidrasi ketika berpuasa.

Selain itu, tidur sejurus selepas bersahur tidak digalakkan kerana boleh meningkatkan risiko ketidakhadaman makanan.

“Ini kerana tubuh memerlukan lebih kurang tiga jam untuk memproses penghadaman makanan. Tidur selepas makan menyebabkan makanan tidak hadam dengan baik di dalam perut dan mendorong kepada risiko pedih hulu hati serta refluk asid (injap antara perut dan esofagus tidak tertutup hingga menolak makanan ke luar badan),” katanya.

Updated:: 19/09/2018 [h_nora]

MEDIA SHARING

HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5002
03 0000 0000
C1593986419