Imunisasi Pneumokokal Elak Jangkitan Kuman Bahaya | HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» HEALTH INFORMATION » 2018 » Imunisasi Pneumokokal Elak Jangkitan Kuman Bahaya

Imunisasi Pneumokokal Elak Jangkitan Kuman Bahaya

SUMBER: BERITA HARIAN

KELMARIN, Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad mengumumkan kementeriannya sedang mempertimbangkan penguatkuasaan suntikan vaksin bagi mengawal penyakit yang boleh dicegah berikutan peningkatan jumlah kanak-kanak tidak menerima pelalian.

Dalam kenyataan sama, beliau memetik data Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah penolakan suntikan vaksin dalam kalangan keluarga dengan anak berusia bawah dua tahun meningkat daripada 637 kes pada 2013 kepada 1,918 kes tahun selepas itu dan 1,541 kes pada 2015.

Bagi tujuan penguatkuasaan suntikan pelalian berkenaan, kementerian terbabit sudah memohon peruntukan tambahan untuk menjayakan program pencegahan kesihatan dan vaksinasi terutama untuk vaksin pneumokokal.

Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, kira-kira RM180 juta diperlukan untuk membiayai suntikanvaksin pneumokokal kepada 500,000 kanak-kanak setahun dengan jaminan peruntukan bagi tujuan terbabit akan dikemukakan dalam Bajet 2019.

Statistik mencatatkan jumlah kohort kelahiran kebangsaan dianggarkan sekitar 450,000 hingga 500,000 setahun.

Untuk makluman, vaksin pneumokokal diperlukan bagi mencegah masalah kesihatan seperti pneumonia, paru-paru, penyakit buah pinggang serta kegagalan fungsi otak atau meningitis.

Inisiatif kerajaan itu susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini yang menganggarkan seramai satu juta kanak-kanak bawah usia lima tahun mati akibat jangkitan kuman pneumokokal setiap tahun.

Sememangnya, cadangan kerajaan untuk mewajibkan vaksin pneumokokal sebagai suntikan tambahan kepada kepada bayi bawah usia dua tahun menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), mampu meningkatkan kualiti kesihatan rakyat.

Ia juga dianggap tepat pada masanya selepas kerajaan terdahulu turut mengemukakan cadangan sama beberapa tahun lalu, namun hasrat murni itu tidak dapat dilaksanakan atas pelbagai kekangan termasuk kekurangan dana.

Isu dana yang menyebabkan pelaksanaan langkah itu gagal direalisasikan agak sukar diterima memandangkan Malaysia antara negara yang memperuntukkan peruntukan besar bagi menampung kos rawatan dan perubatan di semua hospital kerajaan seluruh negara.

Kali ini, rakyat begitu mengharapkan kesungguhan kerajaan dalam isu terbabit mendapat sokongan semua pihak kerana suntikan vaksin tambahan berupaya mengelakkan jangkitan kuman pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak.

Tanpa vaksin berkenaan, risiko jangkitan dalam kalangan anak kecil meningkat memandangkan sistem imun mereka masih lemah. Dua jangkitan kritikal disebabkan kuman berkenaan ialah meningitis (jangkitan selaput otak) dan pneumonia (jangkitan paru-paru).

Bagi mengurangkan perbelanjaan membeli vaksin berkenaan, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pediatrik Malaysia, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata, kementerian disaran mendapatkan kerjasama beberapa negara Asean lain untuk membeli vaksin berkenaan.

Kerjasama itu kata beliau, bertujuan membolehkan pembelian dilakukan secara bekerjasama dengan beberapa negara lain untuk mendapatkan tawaran harga lebih berdaya saing.

“Pada masa sama juga, kerajaan perlu ada pemantauan penyakit yang disebabkan bakteria pneumokokal ini. Perlu dilengkapkan makmal seluruh negara bertujuan menjalani ujian serotip kuman ini,” katanya.

Dr Zulkifli berkata, ramai doktor dan pakar Pediatrik mengalu-alukan kemasukan vaksin pneumokokal dalam program NIP. Ramai di antara mereka sudah bertahun-tahun cuba meminta agar vaksin ini diberi kerajaan. Walaubagaimanapun, mereka faham bahawa negara perlu memberi keutamaan kepada peruntukan lebih penting sehingga kita dapat memulakan vaksinasi ini.

Pada masa sama, masyarakat perlu dimaklumkan secara tepat mengenai pelaksanaannya, sekali gus membolehkan hasrat melahirkan generasi rakyat lebih sihat mendapat sokongan semua pihak.

Sokongan jitu juga diperlukan bagi memerangi dakyah digerakkan pelbagai pertubuhan anti vaksin yang menyalurkan maklumat tidak tepat mengenai pemberian suntikan vaksin sehingga mengelirukan banyak pihak.

Agak malang andai hasrat murni kerajaan terbantut angkara dakyah anti vaksin sedangkan negara kita mempunyai ramai pakar yang membolehkan perkongsian maklumat dan kepakaran disebar demi kepentingan bersama melalui khidmat sokongan secara menyeluruh.

Perkongsian pintar ini pastinya mampu membentuk mekanisme terbaik bagi memastikan jutaan ringgit yang dibelanjakan kerajaan dapat dimanfaatkan semua pihak.

Jangkitan bawa maut

Pensyarah Kehormat Jabatan Pediatrik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Feizel Alsiddiq Mohd Fakharuddin, dalam kenyataannya sebelum ini menggesa supaya pemberian vaksin penumokokal disegerakan bagi mengelak jangkitan yang boleh membawa maut.

Beliau yang juga Pakar Pediatrik dan Neurologi Pusat Perubatan Prince Court mendapati, kuman pneumokokal sangat cepat merebak dalam anggota badan dan jika lambat dirawat, berpotensi menyebabkan mangsa tenat dan kritikal.

Berkongsi pengalaman merawat pesakit jangkitan meningitis pneumokokal, Dr Mohd Feizel Alsiddiq berkata, mangsa dikejarkan ke unit kecemasan dalam keadaan demam yang tinggi, sawan dan seterusnya koma.

Kajian klinikal pula membuktikan serangan kuman meningitis boleh menyebabkan punca kematian sehingga 10 peratus. Dianggarkan juga, 25 peratus daripada mangsa mengalami kecacatan otak kekal kesan serangan berkenaan.

Bagi kes yang serius pula, pesakit perlu menjalani rawatan di unit rawatan rapi dengan kos antara RM1,000 hingga RM1,500 sehari, tidak termasuk kos bekalan ubat.

Berikutan bahayanya risiko serangan jangkitan berkenaan, rasional suntikan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan di negara kita, mengikut jejak Singapura, Filipina dan beberapa negara membangun lain di Amerika Selatan yang sudah melaksanakannya.

Rawatan terbaik

Kajian mendapati pemberian vaksin berupaya mengurangkan lebih 90 peratus kes serangan jangkitan pneumokokal, sekali gus dapat membantu memastikan generasi pelapis negara menikmati kehidupan berkualiti.

Selain itu, langkah suntikan pelalian berkenaan juga selaras matlamat kerajaan untuk memastikan rakyat mendapat rawatan kesihatan terbaik sebagai persediaan melahirkan generasi lebih sihat dan berdaya saing.

Biarlah berapa juta ringgit sekali pun perlu dibelanjakan untuk memberi suntikan berkenaan kepada kumpulan sasar saban tahun, anggaplah ia pelaburan asas kepada negara sebagai persiapan melahirkan pemimpin pelapis kita.

Pastinya, kita tidak mahu melihat kesihatan anak cucu kita nanti terjejas dalam jangka panjang akibat jangkitan berkenaan yang boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Pelalian atau vaksin boleh bertindak sebagai barisan pertahanan pertama menentang jangkitan pneumokokal dengan membantu melindungi daripada penyakit serius, komplikasi jangkitan serta menyelamatkan nyawa.

Sudah sampai masanya Malaysia mengikut jejak lebih 50 negara membangun dan maju di seluruh dunia menyediakan barisan pertahanan pertama itu seperti disyorkan WHO.

Updated:: 26/03/2019 [h_nora]

MEDIA SHARING

HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5002
03 0000 0000
C1593989207