Rawatan Pemulihan Strok | HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Rawatan pemulihan strok

Rawatan pemulihan strok

**This article was published in Bahasa Melayu and has no translation in English**
 

Article Summary

Otak adalah organ kompleks yang mengawal fungsi tubuh. Seseorang yang mengalami strok akan kehilangan pelbagai fungsi yang dikawal oleh otak antaranya kelemahan otot muka dan otot badan, kesukaran untuk bertutur, kesukaran untuk melihat dan kesukaran untuk mengingat.


 By: Dr. Mazatulfazura SF binti Salim

 

PESAKIT strok perlu menjalankan rawatan untuk kembali pulih.
 

Isu kesihatan akibat serangan strok bukan sesuatu yang baharu. Malah, ada antara pesakit atau penjaga yang tercari-cari cara untuk memulihkannya.

Pakar Perubatan Rehabilitasi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Mazatulfazura SF Salim berkata, strok berlaku apabila terdapat aliran darah yang lemah ke otak menyebabkan kematian sebahagian sel otak.

Jelasnya, otak adalah organ kompleks yang mengawal fungsi tubuh. Seseorang yang mengalami strok akan kehilangan pelbagai fungsi yang dikawal oleh otak antaranya kelemahan otot muka dan otot badan, kesukaran untuk bertutur, kesukaran untuk melihat dan kesukaran untuk mengingat.

"Fungsi yang terjejas bergantung kepada lokasi berlakunya aliran darah yang tidak mencukupi ke bahagian otak dan berapa banyak sel tisu otak yang terbabit.

"Bagi mereka yang mengalami strok, selain daripada rawatan akut, rawatan rehabilitasi juga adalah salah satu komponen penting yang perlu dititikberatkan," katanya.

Pakar itu berkata, pemulihan strok atau nama lainnya rehabilitasi strok bukan sahaja terdiri daripada sesi fisioterapi, malah ia seharusnya bersifat komprehensif dan meliputi kepelbagaian disiplin (multidisciplinary).

Jelasnya, rawatan rehabilitasi merangkumi pencegahan strok daripada berulang dengan mengawal risiko mendapatnya kembali, mencegah komplikasi dan membantu pesakit meningkatkan fungsi fizikal serta kognitif dengan mempelajari semula kemahiran yang hilang bagi memastikan tahap berdikari pesakit adalah optimum sehingga berupaya kembali kepada komuniti.

"Rehabilitasi strok adalah satu proses. Kajian menunjukkan bahawa rehabilitasi yang dimulakan seawal berada di hospital iaitu antara 24 hingga 48 jam selepas pesakit stabil dapat meningkatkan kadar pemulihan.

"Ia adalah untuk menggalakkan mobilisasi awal pesakit strok supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya pelbagai komplikasi seperti jangkitan paru-paru, luka tekanan dan trombosis kaki (leg deep vein thrombosis) seterusnya menghalang proses pemulihan itu sendiri," katanya.

Dr Mazatulfazura berkata, walaupun kerosakan pada sel otak selepas strok bersifat kekal, 'neuroplasticity' iaitu proses 'pendawaian semula' tetap berlaku apabila sel-sel otak di sekitar sel-sel mati berusaha untuk membina jalan saraf yang baharu seterusnya cuba untuk mendapatkan semula fungsi yang hilang.

"Proses 'pendawaian semula' ini diperkukuhkan lagi dengan aktiviti atau latihan rehabilitasi yang 'repetitive' atau berulang, bermatlamat dan bermakna kepada pesakit.

"Menurut kajian, rawatan dan latihan rehabilitasi ini perlu diberikan secara komprehensif oleh pasukan rehabilitasi yang diselaraskan dengan baik, terdiri daripada pelbagai disiplin," katanya.

Jelasnya, pasukan itu terdiri daripada profesional perubatan termasuk pakar perubatan rehabilitasi, pakar perubatan dalam atau pakar neurologi, jururawat rehabilitasi, fisioterapis, jurupulih cara kerja, terapis pertuturan, pakar diet, pakar klinikal psikologi dan pekerja sosial.

Tambahnya, proses rehabilitasi turut membabitkan bukan sahaja pesakit, malah ahli keluarga terdekat.

"Ia kerana hasil pemulihan yang baik adalah berkait rapat dengan motivasi pesakit dan sokongan yang tinggi daripada ahli keluarga.

"Rawatan komprehensif rehabilitasi strok merangkumi proses penilaian yang mendalam dan berterusan di samping penetapan matlamat yang boleh dicapai dan realistik," katanya.

Selain itu, pelaksanaan intervensi klinikal oleh setiap ahli pasukan profesional perubatan turut dipersetujui pesakit dan ahli keluarga.

"Komunikasi dan koordinasi antara ahli pasukan ini adalah sangat penting dalam memaksimumkan keberkesanan dan kecekapan proses pemulihan pesakit selepas strok.

"Berapa lama masa untuk pulih dari strok bergantung pada banyak faktor yang berbeza, seperti ukuran dan lokasi strok, faktor usia dan kesihatan keseluruhan pesakit sebelum strok," katanya.

Katanya, ada sesetengah pesakit dan ahli keluarga yang memilih untuk mendapatkan rawatan alternatif seperti rawatan urut tradisional serta akupuntur sebagai langkah proses pemulihan strok.

"Disarankan supaya perkara sebegini dibawa berbincang bersama pakar perubatan yang merawat kerana terdapat pesakit strok mempunyai hilang deria rasa dan apabila tekanan terlalu kuat boleh menyebabkan pendarahan dalaman.

"Kelemahan otot yang memegang sendi pula, sekiranya diberi tekanan yang berlebihan berisiko mengakibatkan sendi terkeluar dari soketnya dan boleh menyebabkan sakit yang berpanjangan," katanya.

Nasihatnya, justeru pesakit dan ahli keluarga perlu memahami proses pemulihan yang mempunyai bukti perubatan kukuh dan membuat pilihan tepat bagi memastikan rawatan diberikan selamat dan berkesan.





Date of Input: 27/09/2021 | Updated: 27/09/2021 | amirahhani

MEDIA SHARING

HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
-
CUMJPA3:15:19