Malaria: 'Fogging' Bukan Kaedah Pencegahan Yang Efektif - Pakar | HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTICLE » Malaria: 'Fogging' bukan kaedah pencegahan yang efektif - Pakar

Malaria: 'Fogging' bukan kaedah pencegahan yang efektif - Pakar

*Artikel ini diterbitkan di dalam Bahasa Melayu dan tiada terjemahan di dalam Bahasa Inggeris
*Artikel ini telah diterbitkan di astroawani.com pada 26 Jun 2020

Oleh: Mardiha Abdullah

Malaria: 'Fogging' bukan kaedah pencegahan yang efektif - Pakar

'Fogging' tidak berkesan untuk cegah malaria dalam jangka masa yang dimahukan. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Kaedah fogging atau semburan asap yang biasa digunakan bagi kawalan dan pencegahan denggi, dilihat kurang efektif untuk mengawal malaria.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr Malina Osman, sifat nyamuk Anopheles yang merupakan pembawa malaria, tidak sama dengan nyamuk Aedes yang membawa denggi.

"Disebabkan sifat nyamuk Anopheles yang berbeza dengan Aedes, fogging yang biasa dilakukan pada lewat petang dan awal malam adalah tidak berkesan.

"Untuk denggi, ia bersesuaian kerana nyamuk Aedes aktif pada waktu tertentu iaitu lewat petang atau senja, selain awal pagi atau selepas Subuh. 

"Nyamuk Anopheles pula aktif sepanjang malam, jadi fogging tidak begitu membantu dan tidak berkesan dalam tempoh masa yang kita mahukan," katanya ketika ditemubual dalam program Buletin AWANI.

Tambah Dr. Malina, sebaiknya amalan pencegahan dilakukan dengan cara mengelakkan nyamuk daripada memasuki rumah, selain mengambil langkah tambahan seperti menggunakan alat pembunuh serangga elektrik dalam rumah, repellent pada kulit apabila keluar pada waktu malam, mengenakan pakaian yang menutup seluruh badan serta menggunakan kelambu berubat semasa tidur.

"Jika di kawasan pedalaman, house spray digunakan, jadi apabila nyamuk hinggap di dinding rumah, ia akan menyerap toksik dan mati.

"Ini memang cara yang biasa dan sudah lama dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

Menyentuh tentang peningkatan kes malaria di Ampang, Dr. Malina berkata ia berkemungkinan berpunca daripada pekerja asing yang tidak menjalani proses pemeriksaan dan saringan kesihatan.

"Ia merupakan punca yang paling sering ditemui untuk kes-kes sporadik malaria di kawasan bandar.

"Untuk itu, semua pekerja asing yang tinggal di rumah-rumah kongsi di kawasan itu perlu disaring dari semasa ke semasa bagi mengelakkan cetusan kes-kes baharu," ujarnya.

 

Date of Input: 10/07/2020 | Updated: 10/07/2020 | hirfarizan

MEDIA SHARING

HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
03 00000000
C1597442803