'Eeiii...takut! Tingginya!' | HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
» ARTIKEL » 'Eeiii...takut! Tingginya!'

'Eeiii...takut! Tingginya!'

**Artikel ini telah diterbitkan di www.www.hmetro.com.my pada 9 Januari 2023**
   

Ringkasan Artikel

Menurutnya, sebilangan besar kebimbangan mengenai ketinggian adalah perkara normal, terutama jika ketinggian itu luar biasa, ketara atau tidak stabil. Kebanyakan postulasi dibuat berpunca daripada kebimbangan semula jadi mengenai jatuh daripada tempat tinggi dan boleh menyebabkan kecederaan diri.


Oleh: Nor 'Asyikin Mat Hayin

 

JANTUNG berdebar, badan menggigil, berpeluh dan berasa seperti hendak terjatuh.

Itu antara 'penderitaan' yang terpaksa dilalui penderita fobia ketinggian apabila berada di tempat tinggi.

Antara perkara yang paling ditakuti penderita fobia ketinggian ini ialah apabila terpaksa memandu kereta melalui jambatan atau parkir kenderaan bertingkat seperti di pusat beli-belah.

Situasi ini ada kalanya membuatkan mereka memandu dalam keadaan tidak tenang kerana perlu memberi fokus kepada pemanduan.

 

 

Pensyarah Perubatan dan Pakar Psikiatri Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Dr Nur Hafidah Ishak berkata, fobia ketinggian juga dikenali sebagai gayat atau dalam istilah saintifiknya 'acrophobia'.

Menurutnya, sebilangan besar kebimbangan mengenai ketinggian adalah perkara normal, terutama jika ketinggian itu luar biasa, ketara atau tidak stabil.

"Penderita gayat mengalami ketakutan yang lebih ketara, mengganggu dan tidak munasabah apabila mereka berhadapan dengan ketinggian.

"Ini termasuk tugas harian seperti memanjat tangga, berdiri berhampiran balkoni atau meletakkan kereta di parkir bertingkat yang boleh menjejaskan keupayaan seseorang untuk berfungsi dalam kehidupan seharian.

"Daripada sudut psikiatri, merujuk kepada 'Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition'

(DSM-5), gayat adalah subtopik fobia khusus yang sering dikaitkan dengan masalah kemurungan atau keresahan," katanya.

 

 

'ACROPHOBIA' atau gayat, lebih dalam kalangan wanita.

'ACROPHOBIA' atau gayat, lebih dalam kalangan wanita.

 

Dr Nur Hafidah berkata, setakat ini, kajian tidak dapat mengenal pasti punca sebenar gayat.

Kebanyakan postulasi dibuat berpunca daripada kebimbangan semula jadi mengenai jatuh daripada tempat tinggi dan boleh menyebabkan kecederaan diri.

"Situasi ini berlaku apabila rangsangan visual (penglihatan) menghasilkan perasaan bimbang atau takut kehilangan keseimbangan diri (daya mengawal posisi diri atau badan seseorang) dan takut atau bimbang akan jatuh (daripada posisi tinggi itu)

"Kajian juga mendapati bahawa pengalaman buruk atau trauma yang membabitkan ketinggian antara penyumbang kepada masalah gayat.

"Fikiran dan kebimbangan berterusan mengenai kesakitan atau kecederaan yang mungkin dialami, akibat jatuh dari tempat tinggi juga menjadi punca gayat," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, data epidemiologi merekodkan kadar prevalen sebanyak tiga hingga lima peratus individu mengalami gayat.

Sementara itu, 28 peratus individu mengalami kebimbangan atau intoleran kepada ketinggian ('visual height intolerance').

"Secara amnya, perempuan lebih ramai mengalami gayat berbanding lelaki dengan kadar nisbah 3:2.

"Kadar prevalen ini lebih tinggi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga mengalami kebimbangan kepada ketinggian, masalah keresahan, migrain dan 'motion sickness' atau mabuk kenderaan serta mabuk laut," katanya.

 

 

TERAPI antara cara rawatan masalah gayat.

TERAPI antara cara rawatan masalah gayat.

 

Dr Nur Hafidah berkata, tiada spesifik kadar ketinggian tertentu yang boleh membuatkan seseorang individu berasa gayat.

"Menaiki menara tinggi antara sebab yang paling biasa atau banyak direkodkan, diikuti mendaki gunung, memanjat tangga, berjalan menyeberangi jambatan, melihat ke luar tingkap atau dari balkoni di tingkat atas," katanya.

Jelasnya, keadaan atau perasaan gayat ini bergantung kepada persepsi setiap individu.

"Persepsi biasa selalunya menyebabkan persepsi terhadap ketinggian berbeza apabila dilihat dari atas.

"Biasanya individu berpersepsi tempat menjadi lebih tinggi apabila seseorang melihat dari atas bangunan, berbanding bawah dan ini menyebabkan gayat," katanya.

Dr Nur Hafidah berkata, gayat menyebabkan seseorang individu mengelak daripada situasi yang boleh mencetuskan keadaan takut atau cemas.

"Mereka juga cenderung mengehadkan banyak aktiviti harian, mengubah fungsi sosial, aktiviti sukan, pekerjaan dan sebagainya.

"Akhirnya, ia boleh menyumbang kepada penyakit kebimbangan dan kemurungan yang teruk," katanya.

Beliau berkata, terdapat empat cara mengenal pasti gayat.

 

KADAR prevalen gayat lebih tinggi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah ini.

KADAR prevalen gayat lebih tinggi kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga mengalami masalah ini.

 

Pertama ialah mengenal pasti dan memahami gejala gayat.

"Kedua adalah membina tahap toleransi diri terhadap gejala gayat secara berperingkat.

"Ketiga, memahami dan menawan fikiran atau kepercayaan terhadap ketinggian manakala keempat, mengenal pasti tindakan atau kelakuan yang selamat," katanya.

Ditanya mengenai rawatan masalah gayat, Dr Nur Hafidah berkata, jika mengalami gejala yang berpanjangan selama enam bulan atau lebih, dan fungsi kehidupan seharian (daripada segi pekerjaan, hubungan sosial, emosi dan sebagainya) terjejas, sebaik-baiknya individu berkaitan mendapatkan khidmat perundingan profesional.

Katanya, rawatan seterusnya ialah 'graded exposure' atau desensitasi bertahap.

"Terapi ini efektif kerana pesakit akan diberi paparan perihal ketakutan secara bertahap.

"Ia mula daripada yang ringan (contoh menaiki tangga) dan apabila setiap tahap dapat dikuasai, pesakit akan diberi tahap lebih tinggi (memanjat tangga lebih tinggi).

"Melalui proses ini, pesakit dapat memahami mengapa dan bagaimana perasaan takut ini terjadi. Setiap tahap akan disertai dengan teknik relaksasi untuk mengurangkan rasa takut. Lama-kelamaan perasaan takut terhadap ketinggian dapat diatasi atau dikurangkan," katanya.

Menurut Dr Nur Hafidah, satu lagi rawatan ialah 'virtual reality'.

Teknik ini mengadaptasi kaedah desensitasi melalui gambaran maya dengan menggunakan aplikasi 'virtual reality' (VR).

"Pemaju aplikasi ini menghasilkan gambaran dan imej realistik serta disertai dengan bunyi yang membuatkan individu berasa seperti kejadian sebenar.

"Rawatan selanjutnya adalah terapi tingkah laku kongnitif. Melalui terapi ini, seseorang diajar untuk mengubah tingkah laku dan pemikiran fobia atau takut kepada yang positif atau adaptif," katanya.

Dr Nur Hafidah berkata, gejala gayat boleh menyamai gejala serangan jantung, khususnya berdebar, sesak nafas, sakit dada, berpeluh yang boleh menguatkan lagi fikiran bahawa diri sedang berada dalam keadaan terancam.

"Bagaimanapun, gayat tidak menyebabkan serangan jantung. Oleh itu, amat penting untuk mengenal pasti gejala ini adalah gejala gayat.

"Di samping itu, cuba fahami bahawa keadaan diri adalah selamat (bukan serangan jantung) dan menguatkan kepercayaan mengenai keselamatan diri.

"Ini membolehkan seseorang untuk lebih bertenang dan berfikiran dengan lebih jelas," katanya.

 

Disiarkan pada: Januari 1, 2023 @ 7:00am

 

 

Tarikh Input: 09/01/2023 | Kemaskini: 09/01/2023 | amirahhani

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 9769 5500
03 9769 5500
-
WWCDFAP:05:27